Monday 20 June 2011

Projek Hospital Shah Alam: Nilai pembidaan semula melebihi baki peruntukan

Projek Hospital Shah Alam: Nilai pembidaan semula melebihi baki peruntukan
Neo Chee Hua Jun 14, 2011 01:18:04 pm
Merdeka Review

Baki peruntukan kerajaan untuk Projek Hospital Shah Alam hanya tinggal RM350 juta, namun enam syarikat yang terlibat dalam pembidaan semula menawarkan harga tender antara RM422.14 juta hingga RM489.65 juta. Dengan kata lain, kerajaan terpaksa membayar lebihan kos antara RM72.14 juta hingga RM139.65 juta - walau mana-mana syarikat yang berjaya membida projek tersebut.

Sumber yang dipercayai menunjukkan senarai harga pembidaan kepada MerdekaReview, bahawa Kementerian Kerja Raya pada asalnya ingin menyerahkan projek ini kepada Gadang Holdings Bhd. Namun demikian, kontraktor utama yang asal - Sunshine Fleet Sdn Bhd yang dikuasai anggota kerabat diraja Selangor - disyaki melobi Kementerian Kewangan di sebaliknya. Akhirnya Kementerian Kewangan mengarahkan Kementerian Kerja Raya untuk membatalkan keputusan pembidaan ini, malah meminta agar pembidaan semula dijalankan, untuk memberi laluan kepada sebuah syarikat yang tidak memenuhi kelayakan untuk dimasukkan ke dalam senarai pembidaan semula.

Dalam satu surat daripada Frontier Structure kepada Sunshine Fleet pada 23 Ogos 2010, Sunshine Fleet ditawarkan sub-kontrak bernilai RM30 juta seandainya Sunshine Fleet sudi membantu Frontier Structure untuk mendapatkan projek pembinaan. Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad tampil untuk menyerahkan dokumen tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada 10 Jun 2011, mempercayai bahawa ini adalah "insentif" kepada Sunshine Fleet.

Projek Hospital Shah Alam tergendala lantaran daripada skandal kewangan yang melibatkan anggota kerabat diraja Selangor, yang mengakibatkan kes ini dibawa ke mahkamah. Kementerian Kerja Raya membekukan kesemua projek kontraktor, dan memulakan pembidaan semula pada November tahun lalu. Pembidaan semula ditamatkan pada Disember 2011, untuk memilih kontraktor yang layak bagi meneruskan projek ini.

Kerajaan menanggung kos lebihan

Menurut sumber, walaupun Kementerian Kerja Raya mengajak lapan syarikat untuk menyertai pembidaan semula ini, namun akhirnya hanya enam daripadanya yang menyerahkan harga pembidaan secara rasmi, dengan harga tawaran dan tempoh projek yang dijanjikan seperti berikut:

IJM (RM489,650,000; 24 bulan)
Gadang Holdings Bhd (RM431,668,000; 24 bulan)
Fajar Baru Capital Bhd (RM429,888,000; 24bulan)
Limbungan Setia (RM449,282,000; 28 bulan)
Ahmad Zaki Resources Bhd (RM422,143,410, 24 bulan)
Gamuda (RM478,800,000; 27 bulan)

Seorang yang mengetahui maklumat dalaman berhubung pembidaan ini memberitahu MerdekaReview, Gadang Holdings yang dimahukan Kementerian Kerja Raya telah berjaya untuk membida projek Hospital Shah Alam, menurut keputusan asal. Sebagaimana yang diketahui, harga bidaan yang dikemukakan Gadang Holdings pada asalnya berjumlah RM431.668 juta; dikurangkan menjadi RM410.87 juta kemudiannya, dengan tempoh pembinaan 24 bulan.

"Kementerian Kerja Raya pada asalnya mahukan IJM sebagai kontraktor, namun harga pembidaannya terlalu tinggi (RM489.65 juta), dan Kementerian Kerja Raya terpaksa menggugurkan pilihan ini. Walaupun harga yang ditawarkan Ahmad Zaki Resources Bhd adalah paling rendah (RM422.144 juta), namun projek yang dikendalikan syarikat ini sering bermasalah, maka ia tidak dipertimbangkan. Akhirnya, Kementerian Kerja Raya memilih Gadang Holdings Bhd," kata sumber.

Kementerian Kerja Raya telah memilih Gadang Holdings Bhd daripada enam buah syarikat ini selepas tamatnya pembidaan semula, dan menyerahkan nama ini kepada Kementerian Kewangan. Namun demikian, Kementerian Kewangan menghantar surat kepada Kementerian Kerja Raya pada 22 Mac 2011, menyatakan bahawa Kementerian Kewangan tidak meluluskan cadangan Kementerian Kerja Raya untuk memilih Gadang Holdings Bhd sebagai kontraktor untuk Projek Hospital Shah Alam.

MerdekaReview telah memperolehi satu surat rasmi bertarikh 22 Mac 2011, daripada Fauziah Yaacob dari Bahagian Perolehan Kerajaan di bawah Kementerian Kewangan, kepada Ketua Pengarah Kerja Raya. Kandungan surat tersebut menunjukkan bahawa Kementerian Kewangan enggan meluluskan Gadang Engineering Sdn Bhd (subsidiari kepada Gadang Holdings) untuk membida projek Hospital Shah Alam dengan RM410.87 juta.

Kos lebih tinggi

Pada masa yang sama, Fauziah Yaacob juga mengarahkan Jabatan Kerja Raya agar projek Hospital Shah Alam ditender semula secara tender terhad konvensional. Selain mengekalkan enam syarikat yang asal, Kementerian Kewangan juga meminta untuk memasukkan dua lagi syarikat, iaitu GM Healthcare Sdn Bhd dan Frontier Structure Sdn Bhd.

Sumber maklumat yang fasih dengan proses pembidaan projek memberitahu MerdekaReview, bahawa syarat untuk menjalankan tender terhad konvensional adalah lebih ketat, malah kos pembinaan akan menjadi lebih tinggi. Menurut sumber yang dipercayai, Jabatan Kerja Raya telah mengumpulkan pakar dalam bidang berkenaan dalam satu seminar yang berlangsung untuk empat hari berturut-turut- untuk mengkaji tender terhad konvensional ini.

Ia berakhir dengan kesudahan bahawa kos projek Hospital Shah Alam tidak akan kurang daripada RM450 juta dengan tender terhad konvensional. Ia bukan sahaja lebih tinggi daripada nilai baki peruntukan yang tinggal, iaitu RM350 juta, malah lebih tinggi daripada harga pembidaan yang ditawarkan Gadang Holdings, iaitu RM410.87 juta.

Apa yang menarik, GM Healthcare Sdn Bhd dan Frontier Structure Sdn Bhd yang disenaraikan Kementerian Kewangan - adalah bekas sub-kontraktor untuk projek Hospital Shah Alam. Kedua-dua syarikat ini bergabung untuk mengusahakan projek hospital ini. Bagaimanapun, setelah Sunshine Fleet menamatkan kontrak sub-kontraktor dengan GM Healthcare pada 11 Ogos 2010, dan selepas Sunshine Fleet kehilangan kedudukannya sebagai kontraktor utama, kedua-dua syarikat tersebut tidak lagi terlibat dalam projek ini.

Syarikat yang tidak layak masuk dalam senarai?

Ironinya, walaupun Frontier Structure dari Pulau Pinang adalah syarikat Gred-7 dengan kualiti pengurusan yang diiktiraf, namun ia tidak mempunyai pendaftaran sebagai kontraktor dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), dan tidak mempunyai kedudukan sebagai kontraktor kelas A. Namun, syarat kelayakan asas untuk projek Hospital Shah Alam adalah kontraktor tersebut mesti dari kelas - A. Satu lagi syarikat GM Healthcare mempunyai kedudukan sebagai kontraktor bumiputera kelas-A.

Persoalannya, mengapa Kementerian Kewangan meminta Jabatan Kerja Raya untuk menerima Frontier Structure Sdn Bhd untuk menjadi salah satu pembida, walaupun tidak berkelayakan?

Khalid Samad mendedahkan pada 10 Jun 2011, bahawa Frontier Structure telah menulis surat kepada Sunshine Fleet pada 23 Ogos 2010, menawarkan sub-kontrak bernilai RM30 juta kepada Sunshine Fleet, seandainya Sunshine Fleet membantunya untuk mendapatkan kontrak projek tersebut.

Dokumen yang diperolehi MerdekaReview menunjukkan Pengerusi Eksekutif Frontier Structure, Zainol Che Mamat benar mengutus surat kepada Pengerusi Eksekutif Sunshine Fleet, iaitu Tengku Arafiah (Adinda Sultan Selangor), menjanjikan bayaran wang yang tidak melebihi RM30 juta, sebagai "balasan dan pembiayaan bagi kos-kos yang berkaitan bagi YAM Tengku Putri untuk mencalon dan mencadang kepada Kementerian Kewangan Malaysia supaya kontrak di atas (Hospital Shah Alam) diberikan kepada Frontier Structure secara terus".

Wang berjumlah RM30 juta ini akan "dibayar secara berperingkat dalam bentuk pemberian sub-kontrak" kembali kepada Sunshine Fleet, mahupun mana-mana individu atau syarikat yang dicalonkan Sunshine Fleet atau Tengku Arafiah, menurut surat tersebut.

Pertemuan dengan pegawai kanan Kementerian Kewangan

Pada masa yang sama, dalam satu surat daripada Pengerusi Eksekutif Frontier Structure, Zainol Che Mamat kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Najib Razak, juga menyatakan bahawa syarikatnya pernah pada 26 Ogos 2010, bertemu dengan Ketua Setiausaha Perbandaharaan Wan Abdul Aziz, Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan Fauziah Yaacob dan tiga orang lagi pegawai Kementerian Kewangan.

Sebagaimana yang diketahui, selepas Sunshine Fleet menamatkan kedudukan GM Healthcare sebagai sub-kontraktor, kedudukannya sebagai kontraktor utama projek juga ditamatkan Jabatan Kerja Raya kemudiannya. Frontier Structure sebagai rakan perniagaan terus berunding dengan Sunshine Fleet, berharap agar Sunshine Fleet membantu syarikatnya untuk mendapat kontrak Hospital Shah Alam secara terus.

Namun demikian, dalam satu surat daripada Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan JKR, Husnani Abd Karim kepada Ketua Pengarah Kerja Raya pada 29 September 2010, Frontier Structure didakwa tidak mempunyai pendaftaran sebagai kontraktor dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), tidak pernah mendapat surat setuju terima tender terus dari JKR, tidak mempunyai pengalaman yang luas dan terbukti di dalam pembinaan hospital, tidak mempunyai staf dan kakitangan yang berpengalaman dalam pembinaan hospital dan sebagainya, sebagai alasan untuk menolak permohonan Frontier Structure untuk dilantik sebagai "kontraktor penyelamat".

Jadi, adalah sesuatu yang amat meragukan, apabila Kementerian Kewangan mengarahkan Jabatan Kerja Raya untuk menyenaraikan Frontier Structure sebagai salah satu pembida - setelah dikenalpasti bahawa syarikat ini tidak berkelayakan untuk menjadi kontraktor.

No comments: